Monday, 9 May 2016

~ PANTUN NEGARA ~

PANTUN NEGARA
Bersawah petani saujana mata,
Tekun bekerja tiada berhenti;
Betapa harmoni negara tercinta,
Berbilang bangsa saling hormati.
Berkilauan kejora tinggi di awan,
Berteman kartika tambah pesona;
Maju negara menjadi wawasan,
Impian bersama moga terlaksana.
Selat teduh destinasi harmoni,
Tempat berehat ketika mengail;
Negara kukuh memacu ekonomi.
Dinikmati rakyat secara adil.
Kebarung nipis dipakai puteri,
Kasa bercorak mengalas baju;
Sebarang krisis bersama hindari,
Tidak merosak matlamat dituju.
Keris bertatah bersarung kemas,
Segak raja di samping menteri;
Pemimpin amanah jalankan tugas,
Tidak semata pentingkan diri.
Tangkai azimat tinggalan lama,
Buat menghalang seteru singgah;
Keluhan rakyat diambil cakna,
Turun padang dengar masalah.
Menarik pukat menjelang senja,
Tangkapan lolos rasa terkilan;
Berjimat cermat dalam berbelanja,
Bersikap boros jangan amalkan.
Beduk diketuk dari madrasah,
Menyeru tunaikan solat bersama;
Bersemuka untuk selesai masalah,
Setiap kekecohan tiada berlama.
Belayarlah payang menuju ke selat,
Tenang lautan permudah haluan;
Semoga gemilang negara berdaulat,
Di bawah pimpinan insan beriman.
JAMILAH HARUN
Kemaman,Terengganu
6 Mei 2016.

~ RUMAH KECIL TEPI TASIK ~

RUMAH KECIL TEPI TASIK
Rumah kecilku berdinding kayu bulat
satu ruang tamu tiga kamar beradu
satu ruang kamar menimba ilmu
satu ruang kecil buatku mengadun resepi keluarga
Dari ruang tamu menyelusuri
lorong kesatu pintu gerbang tiada berdaun...
itu kamar gedung ilmuku
dari situ punya satu pintu
menuju ke jambatan kecil menghadap ke tasik.
Jambatan kecil bercat putih
tempat aku memadu kasih
bersama sidia Arjuna hatiku
melihat itik-itik peliharaan
berenang santai di permukaan tasik yang tenang
ikan-ikan talapia peliharaanku berenang berkejaran.
Di sebelah kanan rumah kecilku
pohon buah-buahan lebat berbuah ketika musimnya
bunga-bunga renik yang berbagai warna di halamanku.
Rumah kecilku tepi tasik
bercat putih berlangsir biru berbunga kecil
melambai-lambai ditiup angin damai
di situ akanku abadikan
kisah cinta terindah bersama rumah impianku.
cahaya laila
5/5/2016
klang.

~ BUKAN SATU PENANGGUHAN ~

BUKAN SATU PENANGGUHAN
Bila-bilapun di sini kekasih
aku senang sekali
datang dan pergi
ketika mentari masih lagi merah
dan perutusan masih lagi aku kirim.
Catatan rindu itu masih lagi kusimpan
di atas meja, di penjuru waktu
kelihatannya seperti biasa
namun di situ ada sepi menekan dada
yang mengangankan hari tanpa resah.
Sepertinya ingin aku tidur di dadanya
mendakap rindu di kesanggupan janji
biar kesepian kugantikan dengan bahasa
tanpa menyalahkan rasa
atau memilih satu penangguhan.
Qalam Bertinta
Klang
280416

~ KUNAMAKANNYA SATU PENGEMBARAAN ~

KUNAMAKANNYA SATU PENGEMBARAAN
Antara daun kering dan cebisan kertas yang bertabur
ada puisi yang tak lagi jelas
ada juga ingatan yang tiba-tiba menangis
kecil dan menyeksa
di pinggir masa dan di penghujung rasa
itulah kita yang sering lewat datangnya
hingga penantian menjadi bosan
dan semuanya jatuh bersama tenggelamnya matahari.
Dendam apalah yang menerjang kemahuan
masakan mampu menafsir hidup sejauh kebolehan
sedang persetiaan adalah mimpi resah
yang merentap antara ketentuan dan kehendak
hingga cinta jauh tersesat dalam perjanjian
jadilah kita seorang yang degil untuk kesekian kalinya.
Tidak ada lagi kemurnian cinta wahai kekasih
semalam hanyalah lanjutan janji dan harapan
aku namakannya satu pengembaraan
untuk meneruskan sambungan waktu
yang terhenti
ketika kebahgiaan masih gagal untuk kita jelmakan.
Qalam Bertinta
Klang
200416

~ TAFSIRAN MAKNA ~

Puisi : Tafsiran Makna.
Ratu jemala,
masih pasrah murka?
Petah melapah pahala
usah dicekah durja
usah dipadah lara
usah diperah duka
usah disepah dusta
perih amarah membara
sahih membarah petaka
Maka
andaikata,
sebegitu duduk perkara
bicaralah tentang cahaya
selendang pelangi merenda
menerangi damai sukma
menyuluhi denai takwa
usah dihirau kelam gulita
yang hadir menduga rasa
yang nadir menbuka selera
Kerna,
biar sepelusuk mana
biar kemaruk pancaroba
biar bertampuk agenda
ragamu tetap sama
jiwamu tetap serupa
tanpa sedikit riak berbeza
bukan kerna seperah jenama
bukan kerna salasilah peristiwa
bukan kerna anugerah teristimewa
Meskipun,
ada kalanya
persis sekilas mata
di bawah redup purnama
bayu malam sepoi bahasa
senyumanmu tampak berbeda
tatkala membingkai halwa makna
disebalik tabir malu nan berbunga
Aduhai atma,
bangkitlah dari lena!
Daulat pasti menjelma
hebat terampilan wibawa
tepat taksiran perdana
manfaat tafsiran cakna
berkat suluhan bertenaga
menyekat kebathilan gulita!
~ Din Kelate ~
8 Rejab, 1437H
16 April, 2016M
@ Taman Botani, Shah Alam

~ SENANDUNG KASIH ~

~ MENIDAK DOA ~

MENIDAK DOA
Dini malam membungkus mimpi
Kecapi pagi mengikat lena
Embun ditadah tak jatuh ke tanah
Rumput dingin menggayut asa
Kiranya suratan menggolek hasrat
Mampukah takdir menidak doa
Walau seribu harap mengumpul gunung
Lembah nan gersang dijeling jangan
Tidak teradat hujan mengguyur
Sebelum guruh bersahutan gema
Kecundangkah pahlawan tiada bertanjak
Gagahkah penglima keris di pinggang
Adat berani menahan marah
Adat taat ikut perintah
Timbanglah aman bersama iman
Jadilah tulang di belakang negara
Relalah berputih tulang
Daripada berputih mata.
Embi Estar : 16 April 2016

~ INGINKU BERLALU ~

INGINKU BERLALU
Tika lembayung kian menutup ruang
alam mulai kelabu
tiada lagi bias cahaya yang meronta
mencelah antara ruang hati
momen kenangan telah tidur
tiada mimpi mengulit lena
untuk kali ini.
Lelah jiwa yang kurasa
menyingkir aku ingin yang menyiksa
kembali aku menyelongkar sisa rencana
sekian lama kulipat di meja harap
kulepaskan pegangan tangan
dahulu menjadi tiang angan
berlari dalam ruang pilihan
menggapai impian.
Telah sekian waktu
mengulit aku mimpi itu
tanpa menyedari hanya
igau silam yang terpegap diam
akan hilang ditelan waktu
bagai hilangnya embun
ketika mentari menyinari.
Ketika bangkit aku di esok hari
semoga tidak lagi diganggu fantasi
kerana aku ingin sendiri
memeluk realiti.
JAMILAH HARUN
Kemaman,Terengganu
11 April 2016

~ DIRGAHAYU CITRA AYU ~

Puisi : Dirgahayu Citra Ayu.
Tika malam berlabuh kelu
berdesir buluh perindu
berpetir getusan rindu
membuak ruap celaru
pada dambaan waktu
atas akujanji dipangku
meremang lama terbuku
Dirgahayu
aduhai citra ayu
usahlah kalut terpilu
memugar selaut sendu
kelak tertusuk sembilu
membadai ilusi keliru
membelai terapi sebu
Tiba ketetapan waktu
pasti masuk bertamu
sejasad raga bermutu
beriktikad luhur syahdu
penawar keluhan menderu
berdebar menyulam nahu
berteleku semanis nawaitu
persembahkan hasrat kalbu
meskipun hakikat jelas terpaku
kemas menggenggami jemarimu
pujian-puja membangkit mahumu
pahit makna menyungkit sedarmu
> panahan asmara : bukan lagi milikku!
~ Din Kelate ~
23 Jamadilakhir, 1437H
1 April, 2016M
@ Gleneagles Kuala Lumpur