Friday, 25 March 2016

~ SEKETIKA MENCARI DIRI YANG PERGI DI WAJAH BIRU LAUT ~

SEKETIKA, MENCARI DIRI YANG PERGI DI WAJAH BIRU LAUT.
Di kebiruan langit itu
mencari akan sebuah jalanan masa
yang telah pergi...jauh mengheret kenang
membawa rindu yang sarat
ketika redup pantai menadah harap
nyanyi ombak bakal melabuhkan temu
mengubat setia janji yang terpenjara
tenggelam dalam perut lautan
berdasawarsa lama.
Masih di situ
bagai warna langit mencium wajah laut
kejapnya simpulan temali rasa
memaut akar persahabatan
walau beradunya masa sekian lama
berubah tiada tautan jiwa
akrab selama.
Untuk kali ini
kupancangkan harap
entah untuk keberapa kali
biru laut itu moga bakal melabuhkan lagi
tirai pertemuan
tatap mata antara kita
mengisi ruang-ruang usia yang masih ada
dengan izin-Nya.
JAMILAH HARUN
Setiu,Terengganu
22 Mac 2016

~ SURAT BUAT KEKASIH ~

SURAT BUAT KEKASEH
Assalamualaikum,
Apa khabar dirimu saat dan ketika ini...moga kekasehku sentiasa dilindungi Allah s.w.t, dan dalam rahmat-Nya berbahagia selalu.
Wahai kekasehku...
Lembar ini sengaja kukirimkan buat menceritakan rindu yang membusar di dadaku ini, sendatnya sayang hingga sukar untuk aku bernafas, di mana-mana hanya bayangan wajahmu hingga tidak mampu kupejamkan mataku...di mana-mana hanya terdengar suaramu hingga aku tidak mampu bersuara.
Jejaka kesayanganku...
Runtun kasihmu meleraikan egoku, hingga aku tenggelam dalam gema bicaramu
yang kaubisikkan lewat musim pertemuan kita...aku ini bunga hatimu...aku ini mawar sanjunganmu...aku ini gadismu...duhai.
Sayangku...
Meski pun bermusim sudah kita bertukar rindu, menyulam kasih, berkait sayang,
menabir cinta tidak pernah terasa lusuhnya, bagai tidak terasa waktu beredar bagai bermimpi dalam dakapanmu.
Arjuna hatiku...
Berat hati menghentikan tinta ini, namun panggilan waktu tidak mengizinkan kita
untuk terus melagukan irama asmara membaitkan kata pujangga. Tinggallah sayang, tinggallah seketika, jika diizinkan aku akan kembali lagi mengirim rindu buatmu.
Bunga hatimu;
CAHAYA LAILA
16/3/2016
klang.

~ GURINDAM YANG TERHENTI ~

GURINDAM YANG TERHENTI
Gurindam kasihku telah lama terhenti
duka tertanam di dasar waktu
perjalanan ini pun menjadi panjang
malam cuba mengutip rindu
yang tertinggal di celah janji
embun jadi kabus
matahari siang kegerhanaan.
Walang itu aku
bukan gentar untuk bersuara
sekadar memujuk jiwa
rongga kecewa jadi luka
air matanya darah
selimutnya api
dan di dasar waktu
mimpiku jadi nyata.
Qalam Bertinta
Klang

~ TANPA SOAL ~

TANPA SOAL
Bukakan aku satu pintu
agar dapat kumasuki tanpa soal
tutupkan aku semua pintu
agar dapat kumasuki satu pintu
tanpa tanya.
Bukakan aku sebuah rahsia
agar dapat kumengerti tanpa soal
tutupkan aku semua rahsia
agar dapat kuselami
hanya satu rahsia.
Bukakan aku satu jalan
agar dapat kulalui tanpa soal
tutupkan aku semua jalan
agar aku tidak sesat
melalui dua jalan.
Qalam Bertinta
Klang
100316

Wednesday, 9 March 2016

~ RENDA KASIH ~

RENDA KASIH.
Aku mencintai dia sejujur hatiku
siapapun dia, bagaimanapun dia
dia tetap ada di ruang hati ini
dalam pelukkan jiwa ini
tiap musim menganyam rindu
embun penyejuk hati.
Di sini di bawah langit cinta ini
aku mengait benang sayang
untukku jadikan renda kasih
pengikat asmara kita... .
Duhai Arjuna hati
aku ini adalah bayang bayangmu
dikala cerah dan mimpi mimpimu
dikala gelap.
Duhai Arjuna hati
hujan itu kenangan kita
semilir itu bisikkanku
alam ini keindahan cinta kita
di mana jua mataku berlabuh
di situ ada dia
dan rindu pun berbaur.
cahaya laila
9/3/2016
klang.

~ PUISI HATI ~

PUISI HATI
Wahai hati
terbitkanlah erti sabar
dalam susuk diri
jadikanlah hempedu semanis gula
kekeruhan menjadi jernih
tiada kata menyilang kebencian
tiada hasutan bermimpi ngeri.
Wahai hati
lembutkanlah kepercayaan
bagai karang di dalam lautan
bagai sepasang kekasih
yang luluh dalam pelukan
bagai bulan berundur perlahan
melepaskan malam.
Wahai hati
sebarkanlah aroma kekasih
biar wanginya meramahi kewujudan
bukan mengumpul duka
dan tunduk mendakapnya
lalu terlupa akan sabda yang tertulis.
Qalam Bertinta
Klang
070316

~ DATANG DAN PERGI ~

DATANG DAN PERGI
Garis-garis suram
hujan kelabu rebah di batu-batu
debar menanti kedamaian
tika senja turun perlahan
kenangan-kenangan duka segalanya seperti biasa
semuanya telah disusun sempurna
ketentuan belum lagi mengheret pergi
masih bersatu dalam denyut gelora
berkembang pada bayangan
yang datang dan pergi
yang pergi dan datang.
Detik yang ramah melapangkan ruang
kehilangan masih tidur dan bermesra
mimpi masih lagi garis-garis panjang yang bersimpang-siur
menyesatkan kelenaan agar terjauh dari jaga
sedang pagi telah melemparkan selimutnya
bangun dan terbang menjentik matahari.
Qalam Bertinta
Klang
050316

~ PERJALANAN ~

PERJALANAN
Telah terbuka jendela pagi
terima kasih malam kerana telah membenih mimpi
ayat-ayat alam terus mengupas nafas
larut pada setiap waktu
menjemput hidup dalam setiap syukur yang ada.
Awan juga menghantar damai
memimpin jalan musafir
melepaskan waktu memeluk rindu
senja berjalan perlahan
menarik tabir warnanya
masa 'kan mampu mengejar mimpi
sebelum malam menghantar siang ke peraduannya.
Qalam Bertinta
Klang
040316

~ SEORANG PENGEMBARA SEPI ~

SEORANG PENGEMBARA SEPI
Seorang pengembara sepi
menghuni kamar kusam
sebuah penjara
terkurung oleh detik waktu
pada satu sudut
yang paling asing.
Di pinggir lurah
datang angin damai yang santun
loceng-loceng berbunyi
lalu kubawa bersama kepercayaan
dalam hasrat yang terkulai
mimpi pun datang bersama badai
saling mengusap duka
namun menyapa dalam setia.
Perasaan itu ribut
di garis ini kita bertemu
degup jantungku menghantar kasih
dan yang berderai adalah doaku
tak mungkin dapat kupunggah
dari longlai tanganku
tika kelesuan tiada bertepi
di saat harapan hanya datang dari sejarah.
Qalam Bertinta
Klang

~ PENGEMBARA ~

PENGEMBARA
Sesat di sudut hidup sendiri
kepingan duka mengilaukan mata
dan kita pun tidak menemui apa-apa.
Kita hanyalah pengembara
yang hanya cuba memanah kijang liar
mengejar antara celahan nafas
lalu pulang ke waktu yang lalu.
Pengembara yang diamnya melangkahi kebebasan
hidupnya mencemaskan harapan
langkahan yang menyonsong rindu ke syurga
tanpa terlupa akan tiba dan berlalunya hari tua.
Qalam Bertinta
Klang
020316

~ TELAH AKU LEPASKAN ~

TELAH AKU LEPASKAN
Kekasih
telah lama kutuntun rindu ini
hujan semalam tidak pernah melemaskannya
entah apa ceritanya pada mimpi
tidurku enggan menyapa subuh
semalam aku kirim harapan
engkau menulis kisah epik
entah bila kita melangkaui zaman
sedang awan masih di situ
mengumpul hujan.
Aku tidak memburu bimbang
tidak juga berlari bersama angin
ruang dan waktu itu melutut di garis tempat aku berdiri
engkau tidak menyapanya
zaman telah lama memagar kisah
keyakinan tidak lagi mencabar perpisahan
dan untuk mengenang hari-hari yang lewat
kesetiaanmu teruji jua.
Qalam Bertinta
Klang
250216