Friday, 15 April 2016

~ SURAT BUAT KEKASIH ~

SURAT BUAT KEKASEH
Assalamualaikum,
Apa khabar dirimu saat dan ketika ini...moga kekasehku sentiasa dilindungi Allah s.w.t, dan dalam rahmat-Nya berbahagia selalu.
Wahai kekasehku...
Lembar ini sengaja kukirimkan buat menceritakan rindu yang membusar di dadaku ini, sendatnya sayang hingga sukar untuk aku bernafas, di mana-mana hanya bayangan wajahmu hingga tidak mampu kupejamkan mataku...di mana-mana hanya terdengar suaramu hingga aku tidak mampu bersuara.
Jejaka kesayanganku...
Runtun kasihmu meleraikan egoku, hingga aku tenggelam dalam gema bicaramu
yang kaubisikkan lewat musim pertemuan kita...aku ini bunga hatimu...aku ini mawar sanjunganmu...aku ini gadismu...duhai.
Sayangku...
Meski pun bermusim sudah kita bertukar rindu, menyulam kasih, berkait sayang,
menabir cinta tidak pernah terasa lusuhnya, bagai tidak terasa waktu beredar bagai bermimpi dalam dakapanmu.
Arjuna hatiku...
Berat hati menghentikan tinta ini, namun panggilan waktu tidak mengizinkan kita
untuk terus melagukan irama asmara membaitkan kata pujangga. Tinggallah sayang, tinggallah seketika, jika diizinkan aku akan kembali lagi mengirim rindu buatmu.
Bunga hatimu;
CAHAYA LAILA
16/3/2016
klang.

~ INGINKU BERLALU ~

INGINKU BERLALU
Tika lembayung kian menutup ruang
alam mulai kelabu
tiada lagi bias cahaya yang meronta
mencelah antara ruang hati
momen kenangan telah tidur
tiada mimpi mengulit lena
untuk kali ini.
Lelah jiwa yang kurasa
menyingkir aku ingin yang menyiksa
kembali aku menyelongkar sisa rencana
sekian lama kulipat di meja harap
kulepaskan pegangan tangan
dahulu menjadi tiang angan
berlari dalam ruang pilihan
menggapai impian.
Telah sekian waktu
mengulit aku mimpi itu
tanpa menyedari hanya
igau silam yang terpegap diam
akan hilang ditelan waktu
bagai hilangnya embun
ketika mentari menyinari.
Ketika bangkit aku di esok hari
semoga tidak lagi diganggu fantasi
kerana aku ingin sendiri
memeluk realiti.
JAMILAH HARUN
Kemaman,Terengganu
11 April 2016

~ DIRGAHAYU CINTA AYU ~

Puisi : Dirgahayu Citra Ayu.
Tika malam berlabuh kelu
berdesir buluh perindu
berpetir getusan rindu
membuak ruap celaru
pada dambaan waktu
atas akujanji dipangku
meremang lama terbuku
Dirgahayu
aduhai citra ayu
usahlah kalut terpilu
memugar selaut sendu
kelak tertusuk sembilu
membadai ilusi keliru
membelai terapi sebu
Tiba ketetapan waktu
pasti masuk bertamu
sejasad raga bermutu
beriktikad luhur syahdu
penawar keluhan menderu
berdebar menyulam nahu
berteleku semanis nawaitu
persembahkan hasrat kalbu
meskipun hakikat jelas terpaku
kemas menggenggami jemarimu
pujian-puja membangkit mahumu
pahit makna menyungkit sedarmu
> panahan asmara : bukan lagi milikku!
~ Din Kelate ~
23 Jamadilakhir, 1437H
1 April, 2016M
@ Gleneagles Kuala Lumpur

~ RINDU YANG MENYALA ~

RINDU YANG MENYALA
Di tubir matamu
ada rindu yang menyala
cahayanya terang
menyeberang lautan masa.
Di situ terpaku aku menunggu
tanpa tahu
bias ungu itu utusan mahu
menadah temu yang kembali
setelah lama tersungkur
diseret takdir yang cemburu.
Sejenak merenung aku
sketsa silam
pada jeling runduk mata
rupanya ada harapan yang terlena
di ranjang malu.
Temaram usia kini menyaksi
kalimat bisu itu mencair
menjadi tinta
buat mencanting kembali
harapan rahsia
di sutera jiwa.
JAMILAH HARUN
Kemaman,Terengganu
8 April 2016

~ NILAI SETAPAK MARUAH ~

Puisi : Nilai Setapak Maruah.
Parah!
Dengan sebegitu mudah
padat bersampul nanah 
maruah kami ditarah
terpaku tak berdarah
merintih tak sudah
tanpa sekaki rumah
untuk diwasiat arwah
milik zuriat berhemah!
Punah!
Bertimpa musibah
lubuk tapak bersejarah
tanah merdeka bertuah
sayup terbentang indah
hijau berelung sawah
seluruh yang dijamah
kesemua rakus disewah
berkubur tanpa maruah!
Amarah!
Dengarlah,
ini sumpah berdarah
selagi raga digagah
selagi nyawa dipapah
biar jasad kami rebah
dalam semerah darah
di atas tanah bersemah
undur setapak, sesekali usah!
Hijrah?
Jangan bertampi pasrah
suntuk menggadai amanah
dek ingin berhias mewah
pesan Nenda di sanggah
pesan Bonda di bakul sampah
bertaklik khianat berserah
pasti terbungkai helah
menjadi bangsa pariah!
~ Din Kelate ~
27 JamadilAwal, 1437H
06 Mac, 2016M
@ Bandar Tasik Selatan

~ BILA KATA JADI DOSA ~

BILA KATA JADI DOSA
Bila kata menjadi dosa
restu sebuah persetiaan terbakar tanpa pesan
sepi menjadi lidah api
cinta tidak lagi didebungawangikan dalam erti pertemanan
putik kembangnya juga tiada rupa
rangka harum dilitup tidak sekemilau seperti bintang di langit
Yang menampar itu bukanlah gelombang hidup
tapi gelombang waktu yang tepu
lalu menghanyutkan pohon keagungan
dan mati kerana kebebasan tidak lagi menyemai percaya.
Bila kata menjadi dosa
kejujuran semakin jauh perginya
hari tidak lagi mengisi ketenteraman
bebayang persoalan berbaring di ditinggalkan
bintang-bintang dan kekasih entah ke mana
bergerak tanpa kesetiaan ke garis ketakutan
tanpa pertemuan di puncak kesedaran.
Qalam Bertinta
Klang
310316
1057am

~ PANTUN KASIH ~

PANTUN KASIH
Sulam dipilih jahit bersilang,
Indah sutera jurai berenda;
Ranum kasih bertaut sayang,
Lerai tiada badai melanda.
Muncul pelangi seusai hujan,
Awan memutih alam ceria;
Eratnya tali kerana simpulan,
Eratnya kasih berikat setia.
Di waktu pagi bergema takbir,
Terasa sebak berakhir puasa;
Genggam janji sampai ke akhir,
Berubah tidak di makan masa.
Sayang cempedak isinya tiada,
Benih terpilih kelak mengganti;
Walaupun banyak duga melanda,
Destinasi kasih kukuh di hati.
JAMILAH HARUN
Kemaman
27 Mac 2016.

~ TEGUH ~

TEGUH
-------
Aku ingin menjadi
karang di lautan
tegar di hempas badai
teguh di lambung ombak
tenang tika berlabuh.
Biarpun perit
biarlah tetap putih
seperti pasiran pantai
jitu tak berubah
terus menanti.
Kusandarkan keyakinan
pada dinding hati
meski luka bernanah
tak akan kecundang
pada keyakinan.
Nukilanhati
Sue
250316