DAERAH MASA
Malam masih berbaki, saat terbuka mata dan kutoleh fajar yang masih lena di ranjang dini. Di kepuk usia yang masih bersisa, lambaian rindu pada Pencipta kian menggamit rasa. Ingin kuhabiskan masa berbicara dan membaja cinta agar marak menyala. Namun kuntuman rindu sering terhalang oleh waktu yang cemburu.
Di daerah masa yang setengah abad kuredahi, telah sering tempuhi aku sejuta duga, sering mengoyak tenang di silam waktu. Saat itu duniaku masih bersama hijau pohon dan nyanyi unggas tiap pagi berlabuh hingga senja menyentuh hari, alir air di kali masih suci sebening mimpiku ketika malam. Hakikat hidup telah memaksa aku pergi dari segala bahagia dan biarkan takdir mencorak landskap diri seterusnya.
Terdampar di sungai resah, dihambat lelah dalam perjalanan yang panjang, seorang aku sering terkapai untuk memaut tangan malam dan berteleku di riba sejadah. Namun tidak pernah aku alpa bermohon pada-Nya untuk ke sejuta kali damai nan abadi. Hakikat yang tersurat tabah kutelani walau sering diri diuji. Setiaku menunggu manisnya doa menjadi wangi realiti.
Bersyukur masih aku diberi peluang untuk mencicip bahagia tatkala ungu usia, diberi sedikit luang masa untuk bersama-Nya, merasakan kembali nikmat sihat anggota, sempurna menjaga pinjaman jua mengutip kembali ilham yang tercicir sekian lama.
Walau sekejap cuma mampu kurangkul Dia dalam syahdu kekata, ketika basah air di muka masih sedingin titis embun aku harus bangkit untuk meneruskan kesinambungan hidup yang kujaga sekian lama.
Terima kasih Tuhan, untuk segala kurnia, di daerah masa ini aku masih hidup untuk dipandang sebagai insan berharga. Sebuah pengorbanan akan menjadi bukti bahawa tidak dahulu kubiarkan amanahku tersia oleh kejahilan iman di dada.
JAMILAH HARUN
Kemaman,Terengganu
17 Ogos 2016.
Kemaman,Terengganu
17 Ogos 2016.
No comments:
Post a Comment