Friday, 12 February 2016

~ DI SENJA RINDU INI ~

DI SENJA RINDU INI
Telah matahari ingin beradu kekasih, saatnya bulan akan menjelma, mengganti memancarkan cahaya, pada bumi yang akan gelita. Walau pinjaman cuma, hadirnya tetap didamba, menjadi penyeri malam, seiring kerdip bintang di angkasa. Ketika itu kekasih, dapatkah kau rasakan kesunyian malam tika bulan enggan menjelma dan membiarkan malam hanyut dengan kesedihan, terbiar keseorangan tanpa ditemani sesiapa. Ah, mungkin kau tidak mengerti, kerana kau adalah siang yang sering bahagia hidupnya, punya segala yang diingini.
Senja ini aku keseorangan lagi kekasih, memeluk sunyi yang malu, mendakap sepi yang pilu, nyanyi unggas telah lama mati, mungkin sedang berselubung di bawah selimut daun setelah dingin hujan membasahi alam. Ke mana lagi hendakku lafaz bicara, siapakah yang sudi mendengar gelora di jiwa, sunyi ini menyiksaku dan perlahan-lahan aku akan mati sendiri kekasih. Sungguh...aku tidak mampu hidup tanpa bulan kerana aku adalah malam yang malang.
JAMILAH HARUN
Kemaman
8 Februari 2016

No comments:

Post a Comment