Monday, 25 January 2016

~ SALAM BUAT KENANGAN ~

SALAM BUAT KENANGAN
Maafkan aku kenangan
kerana tidak mampu bersamamu
persis senja-senja nan lalu
berlarian di pantai kasih
mengucup deru angin
bercanda di pasiran cinta.
Aku kini kian diburu waktu
mengintai di tiap pintu-pintu
menyambut salam bertalu
hingga lupa aku menjenguk mahu
untuk bersamamu.
Izinkan aku
mengisi musim monsun yang basah ini
membaiki pukat ilham
menyiratnya dengan temali aksara
semoga kelak mampu menjala diksi
yang penuh bererti
untuk kuhidangkankan buat kita
kecap bersama.
Di reja masa yang seperca
kubaitkan bicara
lewat bayu
semoga kamu bisa mencium
wanginya rindu yang kutabur
di angkasa
sebagaimana harumnya ingatan
bertakhta di jiwa
antara kita
selama-lama.
Salam permisi
buatmu kenangan
doakan aku
tabah merentas pelayaran
dari pelabuhan ke pelabuhan
mencari destinasi
pulau impian.
LYA JAMIELYA
Kemaman,Terengganu
22 Januari 2016.

No comments:

Post a Comment